Syed Imran is an Arab-Malaysian born in Penang, Malaysia, ex-Bernama
journalist (1971-1998) and former press secretary to Minister in PM's
Department
Monday, September 08, 2008 Antara pendatang dan penumpang
Pada mulanya saya agak keberatan nak ulas kekecohan yang berpunca
ekoran daripada kenyataan ketua UMNO bahagian Bukit Bendera, Pulau
Pinang bernama Ahmad bin Ismail. Sama ada benar atau tidak apa yang
didakwa dikatakan olehnya mengenai rakyat Malaysia keturunan Cina
bukan persoalannya kerana isu tersebut sudahpun merebak dan
mengapi-apikan keadaan.
Jika tidak ditangani dengan cermat, teliti dan bijak, isu itu boleh
ditangguk dalam air yang keruh oleh anasir-anasir yang ingin melihat
negara ini hancur serta mengundang campur tangan kuasa asing. Dalam
zaman dunia tanpa sempadan dan liputan meluas dan segera oleh media
elektronik antarabangsa, apa yang berlaku di sesebuah negara itu
tidak dapat disembunyi atau dinafikan.
Isu pokok yang dibangkitkan oleh Ahmad Ismail membabitkan persoalan
“menumpang” iaitu rakyat Malaysia keturunan Cina adalah penumpang di
negara ini. Beliau menjelaskan bahawa ia merujuk kepada zaman
pra-Merdeka. Bagaimanapun, sensitiviti rakyat Malaysia keturunan Cina
telah terguris.
Saya tidak mengenali secara peribadi Ahmad Ismail, tetapi kenal agak
rapat dengan Allahyarham abangnya, Abdul Rahim Ismail, pemilik
Syarikat Pembinaan Rahim yang pada satu ketika dahulu agak terkenal
sebagai sebuah firma pembinaan Bumiputera yang unggul di Pulau
Pinang. Saya tidak tahu apa dah jadi dengan syarikat itu selepas
Abdul Rahim meninggal dunia.
Secara peribadi, saya tidak setuju dengan apa yang didakwa dikata
oleh Ahmad Ismail atas beberapa sebab.
Bagi saya, hampir 90 peratus rakyat Malaysia, khususnya di
Semenanjung, adalah pendatang dan kita semua sebenarnya menumpang
hidup di bumi Allah. Kita bukan pemilik kekal tetapi hanya menumpang.
Sebagai contoh, saya sendiri adalah keturunan pendatang yang
menumpang hidup di bumi bertuah ini. Datuk nenek di sebelah bapa saya
berhijrah dari Makkah dan dari Brunei ke sini manakala di sebelah ibu
pula dari Hadhramut, Yaman. Kami adalah pendatang dan penumpang sama
seperti hampir semua penduduk negara ini khususnya di Pulau Pinang.
Bagi Ahmad Ismail, dia juga datang dari keluarga pendatang dan
menumpang hidup di negara ini. Ahmad Ismail tidak boleh menafikan
hakikat bahawa datuk neneknya adalah pendatang dari India untuk
menerokai penghidupan yang lebih baik dan selesa di bumi bertuah ini.
Perdana Menteri Abdullah bin Ahmad juga tergolong dalam kategori yang
sama. Datuknya di sebelah ibu adalah pendatang dari wilayah Guandong,
China. Pendek kata, datuk Pak Lah iaitu bapa Allahyarhamah Kailan
bernama Hassan Salleh atau Hah Su Chiang adalah seorang pendatang.
Beliau berhijrah ke Tanah Melayu dari wilayah Guandong (Kwantung)
pada pertengahan abad ke-19 dan menetap di Bayan Lepas sebagai
pekebun getah, pesawah padi dan kemudian saudagar intan berlian.
Najib Tun Razak, Timbalan PM juga berasal daripada keluarga pendatang
iaitu dari Sulawesi, Indonesia atau lebih senang disebut orang Bugis
manakala sepupunya Hishamudin Hussein tidak terlepas daripada darah
keturunan Turki.
Datuk nenek mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad juga pendatang dari
Kerala, India manakala ibu Almarhum Tunku Abul Rahman berasal dari
negeri Siam (Thailand).
Kesultanan Melayu Melaka pun dibuka oleh orang pendatang dari Sumatra
bernama Parameswara, seorang anak raja atau bangsawan beragama Hindu.
Dalam sejarah kesultanan Melayu, kita dapati ada yang ditubuh oleh
pendatang dari Bugis dan ada pula dari Hadhramut selain dari
Minangkabau.
Hampir semua orang Melayu di sini berasal dari luar Tanah Melayu
tetapi diiktiraf sebagai “bangsa Melayu” oleh Perlembagaan
Persekutuan. Kita adalah “Melayu mengikut takrifan Perlembagaan”
iaitu beragama Islam, mengamalkan adat resam Melayu dan bertutur
dalam bahasa Melayu. Malangnya, bahasa Melayu nampaknya dimatikan
oleh orang Melayu (UMNO) sendiri apabila dinamakan sebagai bahasa
Malaysia.
Oleh itu, orang Arab seperti Syed Hamid Albar dan saya, orang Aceh
seperti Sanusi Junid, orang India seperti Kader Sheikh Fadzir dan Nor
Mohamed Yakcop, orang Bugis seperti Najib, orang Minang seperti Rais
Yatim, orang Jawa seperti Mohamad Rahmat dan yang lain seperti dari
Madura, Pulau Boyan, Siam, Burma, Yunnan (China) dan selatan Filipina
dengan mudah boleh diiktirf sebagai “Melayu”.
Mereka diterima sebagai orang Melayu tidak kira sama ada mereka
bertutur bahasa Melayu atau tidak di rumah umpamanya si Arab
berbahasa Arab, si Jawa berbahasa Jawa dan si Minang berbahasa Minang
atupun si Mamak berbahasa Tamil.
Bahasa-bahasa yang disebut itu bukan bahasa Melayu dan jika dilihat
dari sudut Perlembagaan Persekutuan, tidak boleh diterima atau
diiktiraf sebagai bangsa Melayu. Walau bagaimanapun, atas kepentingan
dan faktor politik, semuanya diterima sebagai Melayu dan Bumiputera.
Oleh itu, adalah tidak adil untuk menuding jari kepada orang Cina
yang juga kaum pendatang sama seperti orang Arab, India, Aceh,
Minang, Batak, Mandailing, Jawa, Madura mahupun Bugis, sebagai
menumpang di negeri ini. Kita tidak boleh menafikan bahawa sebilangan
besar datuk nenek orang Cina telah berhijrah ke negeri ini semasa
Kesultanan Melayu Melaka, bahkan kesultanan-kesultanan terdahulu di
Kedah mahupun Terengganu dan Kelantan serta semasa Francis Light
berjaya menipu Sultan Kedah untuk menduduki Pulau Pinang pada 1786.
Kita adalah kaum pendatang yang menumpang hidup di negeri ini.
Golongan yang boleh diiktiraf sebagai orang asal atau anak bumi tulen
adalah mereka yang kita kenali sebagai Negrito, Jakun, Semang, Jahut,
Orang Laut, Orang Darat, Senoi dan suku kaum masyarakat Asli lain
yang masih menjadi penghuni belantara.
Kita tidak harus lupa akan sumbangan dan pengorbanan semua kaum dan
suku kaum untuk membangunkan Malaysia sama ada dari sudut ekonomi,
kemasyarakatan, keselamatan dan yang paling penting kesepakatan dan
perpaduan. Semua orang yang kena dan seharusnya membayar cukai,
berbuat demikian tanpa mengira kaum atau asal keturunan, sama ada
pendatang atau penumpang.
Malaysia Maju!